Advertisement Block

Pages

Sabtu, 23 Februari 2013

globalisasi membawa kemakmuran oleh tom g palmer


Globalisasi membawa kemakmuran

Oleh: Tom G Palmer

Risalah ini diterjemahkan oleh Malaysia Think Tank London
(www.malaysiathinktank.org.uk) daripada tulisan asal Dr Tom G Palmer bertajuk
“Globalization is Grrrreat!” terbitan Cato Institute (2002). Sebarang kekeliruan
harus dirujuk kembali kepada risalah asal dalam Bahasa Inggeris. Sebarang
kesilapan dalam penterjemahan, jika ada, adalah kelemahan penterjemah dan
tidak melambangkan kekurangan dalam risalah asal. Malaysia Think Tank London
mengucapkan terima kasih kepada Dr Tom Palmer kerana memberi kebenaran
untuk menerbitkan risalah ini.
Ramai yang berhujah menggunakan emosi apabila berbicara mengenai
globalisasi. Saya tidak mahu menggunakan emosi. Saya akan menggunakan
hujah, lojik dan bukti. Dalam membincangkan globalisasi, kita mesti
memastikan sesuatu hujah itu boleh difikirkan, boleh disahkan dan boleh
diperdebatkan. Cara terbaik untuk untuk menarik hati seseorang ialah melalui
akal fikiran mereka. Saya mahu berinteraksi dengan akal fikiran anda supaya
anda sendiri boleh membawa hati dan perasan anda untuk menyebelahi
kemanusiaan.
Golongan anti-globalisasi biasanya menggunakan perkataan globalisasi apabila
merujuk kepada hampir semua perkara yang mereka benci. Tetapi, bagi saya,
globalisasi bermaksud ‘pengurangan atau penghapusan sekatan-sekatan yang
dikenakan oleh kerajaan ke atas perdagangan merentas sempadan dan juga
sistem pengeluaran dan pertukaran global yang semakin bersepadu dan
semakin kompleks yang terhasil darinya’. Persoalan yang timbul ialah apakah
kesan daripada globalisasi dan adakah ia mendatangkan faedah atau
keburukan.
Dari segi polisi pula, persoalan penting yang timbul ialah wajarkah sempadan
negara dijadikan penghalang kebebasan transaksi perdagangan merentas
sempadan? Wajarkah penanam gandum di Amerika Syarikat dibenarkan
membeli telefon bimbit yang dibibuat di Finland? Wajarkah pengeluar pakaian
di Ghana dibenarkan menjual barangan mereka kepada pekerja kilang
kenderaan di German?
Bagi saya, jawapannya ialah “Ya! Mereka wajar dibenarkan berdagang dengan
bebas”. Tetapi golongan anti-globalisasi – baik yang berhaluan kira atau kanan,
baik Ralph Nader atau Patrick Buchanan atau Jean Marie le Pen – mengatakan
tidak. Sebelum saya menjelaskan kenapa saya berkata ya, saya ingin
menjelaskan bahawa perbahasan ini bukan perbahasan mengenai angka dan
statistik semata-mata tetapi ia merupakan perbahasan mengenai manusia,
interaksi antara manusia, dan kehidupan manusia yang penuh bererti.
Untuk memberikan sedikit gambaran kemanusiaan terhadap perdebatan ini,
izinkan saya menceritakan satu kisah. Saya mempunyai seorang rakan
berbangsa Maya. Beliau mengajar antropologi di Guatemala. Beliau pernah
membawa saya ke sebuah kawasan tanah tinggi yang didiami oleh bangsa
Maya.
Beliau memberitahu saya bahawa ahli antropologi daripada Eropah dan Amerika
Syarikat yang mahu mengkaji bangsa Maya ada yang merungut kerana wanitawanita
Maya tidak lagi memakai pakaian tradisional mereka. Pakaian tersebut
cantik tetapi mengambil masa yang lama untuk disiapkan kerana ia dibuat

dengan tangan dan memerlukan ketelitian. Wanita-wanita Maya kini hanya
memakai pakaian tradisional mereka dalam upacara istimewa seperti
pembaptisan atau perkahwinan sahaja. Para pengkaji yang melawat menjadi
bimbang kerana, menurut mereka, kebudayaan bangsa Maya telah dirompak.
Menurut mereka, bangsa Maya adalah mangsa kepada globalisasi dan
imperialisma budaya.
Para pelawat tersebut tidak pula bertanya wanita-wanita Maya sendiri kenapa
mereka tidak lagi memakai pakaian tradisional. Rakan saya ada bertanya
secara terus dan wanita-wanita Maya itu mengatakan bahawa mereka tidak
memakai pakaian tradisional tersebut kerana pakaian itu kini menjadi terlalu
mahal. Apakah maksudnya apabila pakaian buatan tangan menjadi terlalu
mahal? Ertinya, nilai titik peluh dan usaha wanita Maya kini telah menjadi lebih
berharga.
Mereka tidak lagi perlu menenun berjam-jam untuk menghasilkan satu pakaian
untuk dipakai sendiri. Sebaliknya, mereka kini boleh menenun sehelai pakaian
untuk dijual kepada wanita di Perancis, dan menggunakan wang yang
diperolehi untuk membeli tiga pakaian – dan kaca mata, atau radio, atau ubat
melawan penyakit denggi. Jika tidak membuat pakaian sekalipun, wanita Maya
boleh melakukan pekerjaan lain, dan menggunakan wang yang diperolehi untuk
membeli barang-barang lain yang mereka mahu. Mereka tidak dirompak. Tetapi
mereka sebenarnya menjadi lebih berkemampuan. Mereka menjadi lebih kaya!
Pastilah ini satu kebaikan.
Rakan saya itu menyatakan bahawa ada di antara golongan anti-globalisasi
yang lebih gemar menjadi ‘pelancong kemiskinan manusia’. Mereka melancong
ke sana sini untuk menyaksikan kemiskinan dan mereka mahu mengekalkan
kemiskinan itu. Golongan anti-globalisasi ini lebih suka mengambil gambar
orang miskin yang berwarna-warni. Mereka tidak suka kepada globalisasi
kerana peluang ‘melancong’ tersebut telah hilang.
Maka, apabila kita bercakap mengenai globalisasi, kita harus mengingati
golongan wanita tersebut yang mana kini hasil kerja tangan mereka menjadi
lebih mahal sehingga tidak sesuai lagi jika mereka sendiri memakai pakaian itu
setiap hari. Mereka mendapat lebih banyak faedah apabila hasil kerja mereka
dijual di pasaran dunia. Mereka ini adalah manusia yang mendapat impak terus
daripada perdebatan kita mengenai globalisasi, baik impak positif mahupun
impak negatif. Apabila kita membahaskan polisi, ingatlah kepadagolongan
miskin seperti ini. Apakah kesan polisi yang kita tetapkan terhadap mereka?
Adakah mereka akan menjadi lebih kaya atau lebih miskin? Adakah jangka
hayat mereka bertambah panjang atau semakin pendek?
MITOS MENGENAI GLOBALISASI
Globalisasi menghapuskan peluang pekerjaan. Polisi perdagangan
sebenarnya tidak memberi impak kepada bilangan pekerjaan. Sebaliknya, ia
memberi kesan kepada jenis pekerjaan. Perlindungan dan sekatan
perdagangan meningkatkan bilangan pekerjaan dalam sektor import. Tetapi
sekatan dan perlindungan turut mengurangkan bilangan pekerjaan dalam
sektor eksport. Maksudnya, apabila import menjadi terlalu mahal akibat
sekatan, kuota dan perlindungan tarif, maka bilangan pekerjaan hilang
daripada industri-industri yang menghasilkan barangan eksport yang boleh
ditukar dengan barangan import.
Eksport ialah harga yang kita bayar untuk import dan import pula adalah harga
yang dibayar oleh negara asing untuk eksport kita. Jadi, jika kita menyekat

import, maka jumlah bayaran yang kita terima untuk eksport kita juga
berkurangan, hingga akhirnya menyebabkan kita kehilangan pekerjaan dalam
industri pengeksportan.
Globalisasi memindahkan modal ke tempat yang mana kadar gaji
adalah paling rendah dan mengeksploitasi pekerja termiskin. Jika betul
bahawa modal mengalir ke tempat yang mana kadar gaji adalah yang paling
rendah, maka Burkina Faso dan lain-lain negara miskin sepatutnya mengalami
kebanjiran pelaburan asing. Adakah ini berlaku? Mari kita lihat fakta sebenar.
Sepanjang tahun 1990-an, 81 peratus pelaburan asing Amerika Syarikat pergi
ke tiga tempat: Kanada, Eropah Barat, dan Jepun. Negara membangun seperti
Indonesia, Brazil, Thailand dan Mexico, yang mana kadar gaji di sana semakin
meningkat, menerima 18 peratus. Dan negara-negara lain, termasuklah
seluruh Afrika, berkongsi lebihan yang tinggal satu peratus lagi sahaja.
Realitinya, pelabur membuat pelaburan di tempat-tempat yang berpotensi
membawa pulangan yang terbaik. Secara umumnya, potensi ini ditawarkan
oleh negara-negara yang mana kadar gaji mereka adalah tinggi, bukan rendah.
Sebagai tambahan, perniagaan yang ditubuhkan oleh pelabur asing biasanya
membayar gaji yang lebih tinggi daripada syarikat tempatan kerana pelabur
asing mahu menarik dan mengekalkan pekerja yang terbaik dalam negara itu.
Modal dipindahkan dari negara kaya ke negara dunia ke-tiga, di mana
mereka menggunakan buruh dengan kos amat murah, yang seterusnya
mengeluarkan barangan eksport murah untuk dihantar ke negara kaya.
Ini menghasilkan surplus perdagangan, dan merosakkan industri
pembuatan di negara kaya. Akibatnya, semua pihak rugi. Saya sering
mendengar tohmahan sebegini di kampus-kampus universiti. Hujah ini amat
keliru hingga kadang kala saya sendiri tidak pasti bagaimana hendak mula
menjawabnya.
Kita sebenarnya tidak mungkin boleh memiliki surplus akaun modal dan surplus
perdagangan serentak. Jika eksport lebih tinggi daripada import, maka kita
sebenarnya mendapat pulangan daripada daripada eksport kita. Apa yang
diperolehi ialah hakmilik aset – atau pelaburan bersih – dalam negara yang
menerima barangan eksport kita. Sebaliknya, import lebih daripada eksport –
seperti apa yang dilakukan oleh Amerika Syarikat beberapa dekad
kebelakangan ini – kita perlu menjual sesuatu kepada negara asing yang
menghantar barangan kepada kita. Item yang kita jual adalah aset, contohnya
saham dalam syarikat-syarikat.
Prinsip utama dalam hal ini ialah (Simpanan – Pelaburan) = (Eksport – Import).
Golongan anti-globalisasi yang cuba menakut-nakutkan rakyat sebenarnya
tidak faham unsur paling asas dalam perakaunan perdagangan antarabangsa.
Globalisasi menyebabkan standard penjagaan alam sekitar dan
standard tenaga buruh menjadi rendah. Satu lagi kesilapan ialah apabila
kita menyangka bahawa modal berpindah ke tempat yang mempunyai standard
alam sekitar dan tenaga buruh yang paling rendah. Kita perlu memeriksa fakta.
Pelabur melabur di tempat yang menghasilkan pulangan paling baik. Biasanya,
ini bermaksud mereka mencari tempat yang mempunyai tenaga buruh paling
produktif, di mana rakyat biasanya lebih kaya. Rakyat yang lebih kaya biasanya
menuntut kualiti alam sekitar dan kualiti tempat kerja yang lebih baik, bukan
lebih buruk.
Ada dua kes yang biasa dijadikan hujah betapa kononnya perjanjian
perdagangan bebas boleh merosakkan alam sekitar – kes ‘tuna / ikan lumba4
lumba’ dan kes ‘udang / penyu’. Sebenarnya, dalam kedua-dua kes ini, apa
yang berlaku ialah globalisasi melahirkan perlumbaan untuk menjadi lebih baik,
bukan sebaliknya. Banyak negara yang kini menggunakan standard Amerika
Syarikat dalam usaha melindungi ikan lumba-lumba dan penyu.
Perkara yang sama juga berlaku dalam hal standard pekerjaan. Ramai yang
mencari pekerjaan dalam syarikat milik pelabur asing kerana syarikat-syarikat
asing biasanya membayar gaji yang lebih tinggi dan juga menawarkan kualiti
tempat kerja yang lebih baik berbanding syarikat tempatan.
Globalisasi menghasilkan homogenasi budaya Amerika ke seluruh
dunia. Memang benar bahawa Amerika Syarikat menjadi tarikan kepada ramai
pihak. Golongan elit biasanya tidak suka perkara ini. Tapi, cuba kita fikirkan
trend yang melanda dunia seperti Harry Potter daripada England, Pokemon dan
Anime daripada Jepun, Bollywood daripada India, dan banyak lagi budaya yang
bukan daripada Amerika. Semua ini sebenarnya memperkayakan kita dan
memperkayakan satu sama lain. Itu belum lagi disebut mengenai masakan
Siam dan lagu-lagu yang kita dengar dalam pelbagai bahasa.
Jika budaya disimpan dalam bekas kedap udara dan dihalang daripada
berubah, maka ia bukan lagi kebudayaan manusiawi. Sebaliknya, ia menjadi
barang pameran dalam muzium sahaja. Globalisasi sebenarnya
memperkayakan budaya.
Globalisasi melahirkan ketidaksamaan. Ketidaksamaan berlaku akibat
daripada pelbagai faktor yang kompleks. Ada benarnya jika dikatakan bahawa
globalisasi melahirkan ketidaksamaan kerana jurang antara negara-negara
yang menyekat perdagangan dengan negara-negara yang mengamalkan
ekonomi terbuka memang menjadi semakin besar. Tetapi ini bukan
ketidaksamaan yang sering dimomokkan oleh penentang globalisasi!
Hakikatnya, dalam negara-negara yang membuka ekonomi mereka untuk
menerima perdagangan dan pelaburan, jumlah golongan pertengahan (middle
class) semakin meningkat. Ini bermaksud jurang pendapatan menjadi semakin
kecil, bukan semakin besar.
FAEDAH GLOBALISASI
Globalisasi membawa keamanan kerana ia menghilangkan insentif
untuk berkonflik. Sekatan perdagangan diasaskan kepada mentaliti dan polisi
yang mempertekankan perbezaan kepentingan antara negara. Sebaliknya,
perdagangan bebas menghubungkan negara-negara secara aman. Ada pepatah
yang mengatakan bahawa jika perdagangan tidak boleh merentas sempadan,
maka tentera akan merentasinya.
Perdagangan mencipta kekayaan. Bayangkan apa akan berlaku jika
seorang perekacipta mencipta satu mesin. Jika kita memasukkan satu barang
yang kita hasilkan dengan murah ke dalam mesin tersebut, mesin itu akan
mengeluarkan pula barang yang kita kehendaki tetapi tidak mampu membuat
sendiri kerana kos pembuatannya mahal. Oleh kerana kambing banyak di
Australia, maka orang Australia boleh memasukkan kambing ke dalam mesin
tersebut dan mesin itu akan memberikan mereka kereta dan mesin fotokopi.
Orang Jepun pula boleh memasukkan perakam video dan radio ke dalam mesin
itu dan mereka akan mendapat minyak petroliam, gandum, dan kapal terbang.
Perekacipta mesin itu pasti akan dijulang sebagai wira negara. Mesin itu
sebenarnya memang wujud. Itulah dia pelabuhan!

Jika ‘penemuan’ ini diketahui oleh golongan anti-globalisasi seperti Ralph Nader
atau Pat Buchanan, ‘perekacipta’ itu pasti akan dilabel sebagai pemusnah
masyarakat, tidak patriotik, dan pemusnah peluang pekerjaan.Tetapi, jika kita
kaji betul-betul, pasti kita menyedari bahawa banyak persamaan antara ‘mesin’
tersebut dengan perdagangan bebas.
Perdagangan membawa faedah kepada semua. Kesilapan yang paling
kerap dilakukann oleh golongan anti-globalisasi ialah dalam memahami
kelebihan mutlak (absolute advantage) dengan kelebihan komparatif
(comparative advantage). Sekalipun jika individu di hadapan saya lebih baik
daripada saya secara mutlak dalam semua hal, dia dan saya masing-masing
akan mendapat lebih banyak manfaat jika kami berdagang – dia
mengkhususkan pengeluaran barangan yang dia boleh keluarkan dengan paling
baik, dan saya pula mengkhususkan pengeluaran barangan yang saya boleh
keluarkan dengan paling baik. Perdagangan membolehkan kami mendapatkan
barangan yang paling baik daripada satu sama lain.
Satu lagi perbandingan yang boleh digunakan ialah antara peguam dan
jurutaip. Katakanlah terdapat seorang peguam yang boleh menulis brif
perundangan dengan baik dan juga boleh menaip lebih baik daripada seorang
jurutaip. Dalam keadaan demikian sekalipun, adalah lebih berfaedah bagi
kedua-dua pihak jika peguam itu mengkhususkan dirinya dalam menulis brif
perundangan dan membiarkan jurutaip menaip brif tersebut. Jika peguam itu
mahu menulis dan turut mahu menaip, maka dia membazirkan masa kerana
dia boleh memperolehi lebih banyak pendapatan jika dia membuat
pengkhususan. Pengkhususan yang dibuat oleh peguam dan jurutaip
menghasilkan jumlah output keseluruhan yang lebih tinggi dan jumlah
pendapatan individu yang lebih tinggi berbanding jika tidak ada pengkhususan.
Inilah juga sebabnya kenapa perdagangan boleh membawa kepada perdamaian
dan kemakmuran. Melalui perdagangan bebas, manusia melihat bahawa setiap
individu manusia lain adalah rakan kongsi yang sama-sama mendapat faedah
daripada kerjasama. Inilah yang menghasilkan masyarakat kemanusiaan,
bukannya apabila manusia melihat satu sama lain sebagai persaingan.
Perdagangan adalah batu asas kepada tamadun manusia.
Perdagangan bebas ialah jalan paling cepat untuk menghapuskan
buruh kanak-kanak (child labour). Terdapat kira-kira 250 juta pekerja
kanak-kanak di seluruh dunia. Bilangan ini semakin turun – bukan meningkat –
dengan bertambahnya perdagangan dan globalisasi. Mudah untuk kita fahami
kenapa berlakunya penurunan ini.
Negara-negara miskin tidak menjadi miskin kerana kanak-kanak mereka
bekerja. Sebaliknya, kanak-kanak terpaksa bekerja kerana mereka miskin.
Apabila rakyat menjadi lebih berkemampuan hasil daripada pengeluaran dan
perdagangan bebas, mereka akan menghantar anak mereka ke sekolah, bukan
ketempat kerja. Perdagangan global ialah jalan paling cepat untuk
menghapuskan buruh kanak-kanak dan menggantikannya dengan pendidikan.
Perdagangan, keterbukaan, dan globalisasi mendokong kerajaan yang
bertanggungjawab, demokratik, dan mewujudkan keluhuran undangundang.
Bilangan negara-negara yang diiktiraf oleh Freedom House sebagai
negara demokratik meningkat dengan drastik selaras dengan runtuhnya
sekatan perdagangan. Di kalangan 40 peratus negara teratas dalam ranking
Economic Freedom of the World 2002 terbitan bersama Cato Institute, 90
peratus diiktiraf sebagai bebas oleh Freedom House. Sebaliknya, di kalangan 20
peratus terbawah, iaitu negara-negara yang ekonominya paling tertutup, tidak

sampai 20 peratus diiktiraf sebagai bebas dan lebih 50% dikatakan tidak bebas
oleh Freedom House.
Mexico ialah contoh yang baik. Pembukaan ekonomi Mexico melalui Perjanjian
Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) membolehkan Vincente Fox
menang dalam pilihanraya Presiden dan pecahnya monopoli kuasa oleh
Institutional Revolutionary Party. Mereka yang mahukan keluhuran undangundang
dan mahukan kerajaan yang bertanggungjawab sepatutnya menyokong
globalisasi.
Perdagangan bebas ialah hak asasi manusia. Golongan anti-globalisasi
berpandangan bahawa mereka boleh menggunakan kuasa dalam menghalang
anda dan saya bertukar barangan secara sukarela. Hak asasi sepatutnya sama
bagi semua manusia. Hak untuk berdagang dengan bebas adalah satu hak
asasi yang sepatutnya dimiliki oleh semua manusia, walaupun mungkin ada
yang tinggal di seberang sempadan. Perdagangan bebas bukan satu
keistimewaan. Ia satu hak asasi.

Perdagangan adalah perkara yang unik buat manusia. Ia membezakan kita
daripada binatang. Asas kepada perdagangan ialah kebolehan manusia berfikir
dan kebolehan kita meyakinkan serta mempengaruhi orang lain. Adam Smith
berkata dalam ucapan beliau pada 30 Mac 1763, “The offering of a shilling,
which to us appears to have so plain and simple a meaning, is in reality offering
an argument to persuade one to do so and so as it is for his interest.” Haiwan
lain mungkin boleh bekerjasama, tetapi tidak ada haiwan yang berdagang.
Haiwan lain tidak berdagang kerana binatang tidak mempunyai kebolehan
untuk menggunakan akal untuk mempengaruhi haiwan lain.
Perdagangan bukan sahaja satu keunikan manusia, ia juga satu keunikan
tamadun manusiawi. Dalam buku sembilan The Odyssey tulisan Homer, apabila
Odysseus bercerita mengenai ketibaan di tanah Cyclops, dia memberikan sebab
kenapa Cyclops merupakan makhluk ganas. Odysseus menyatakan:
The Cyclops have no ships with crimson prows,
No shipwrights there to build them good trim craft,
That could sail them out to foreign ports of call,
As most men risk the seas to trade with other men.
Cyclops merupakan makhluk ganas kerana ia tidak berdagang. Cyclops hidup
dalam dunia yang disukai oleh golongan anti-globalisasi – sebuah dunia tanpa
perdagangan, sebuah dunia di mana semua proses pengeluaran berlaku secara
lokal.
Sekatan perdagangan perlu ditolak bukan sahaja kerana ia tidak efisien.
Sekatan perdagangan juga perlu ditolak kerana ia boleh membawa kepada
konflik dan peperangan. Sekatan perdagangan perlu ditolak kerana ia tidak
bermoral dan tidak bertamadun.

SUMBER:http://tomgpalmer.com/wp-content/uploads/papers/palmer_on_globalization_in_malay.pdf

0 komentar:

Posting Komentar